Coret-coret biasa antara Subuh hingga ke Dhuha yang panjang. Jam 3 pagi kini sudah 4 20 sedang kelopak mata segar, perut pula kata lapar, tangan gatal menekan papan kekunci komputer riba. Pada musim panas pagi begini sudahpun terang-benderang, namun terasa sunyi sepi tatkala semua masih dibuai entah seronok disinggah bidadari atau dikacau mimpi ngeri.
Alangkah pelik sekali. Dahulu Isbiha minta simpang empat puluh empat malaikat daripada dijodohkan dengan orang Negeri Sembilan. Namun selama lebih daripada 30 tahun dengan orang Negeri Sembilan juga yang menjadi teman ranjangnya, teman tidurnya dan juga teman hidupnya hingga ke akhir hayat. Pelik juga bagi Siti Khadijah pada mudanya dulu selalu dikutuk-kutuk orang Jawa kerana di kampungnya itu dahulu ada tinggal seorang lelaki Jawa. Apakan daya orang Jawa itu juga yang menjadi suaminya lantas memberi nafkah zahir dan batin kepadanya.
Cintailah kecintaanmu dengan sedang, boleh jadi ia menjadi kebencianmu suatu hari. Dan bencilah kebencianmu dengan sedang, boleh jadi ia menjadi kecintaanmu suatu hari. (At-Tirmizi)
Jadi apa yang sangat peliknya?
Dahulu saya tidak berapa meminati apa sahaja yang berkaitan sastera. Saya selalu melabel orang yang suka membaca novel itu ialah orang yang jiwang. (Mungkin terdorong ketika itu terlau banyak novel pop komersil yang hanya mengangkat soal cinta sesama insan sahaja) Lantas saya tidak mengendahkan sangat perkembangan dunia sastera dan bahasa semasa. Namun berada berjauhan dengan keluarga membuatkan saya sentiasa berasa rindu yang amat sangat. Percaya atau tidak ketika mula-mula sampai di bumi Moscow ini, internet adalah begitu sukar sekali untuk didapati. Apatah lagi ketika itu masih lagi terbias dengan dasar separuh buka dan tutup blok Komunis yang dahulu. Maka medium yang kami gunakan untuk melepas rindu ialah melalui warkah yang ditulis dengan tulisan Jawi.
Di sinilah kecintaan saya kepada Bahasa Melayu , sastera terutamanya genre puisi semakin membuak-buak. Melihat perkembangan bahasa ibunda yang ditinjak-tinjak oleh bangsa sendiri. Menurut National Geographic setiap 14 hari, satu bahasa akan pupus dari dunia. Mungkinkah bahasa Melayu termasuk dalam golongannya? Bahasa yang terpupus akan menghilangkan segala kesan khazanah sejarah, budaya, alam semula jadi tempatan, dan seterusnya membunuh sesuatu bangsa itu sendiri. Bukankah memang Allah telah ciptakan manusia itu pelbagai warna kulit, ragam, budaya dan sebagainya untuk saling kenal antara satu sama lain?
Sejak Isbiha pergi untuk selama-lamanya, jiwa saya yang bisu sering menjerit dengan suara yang tiada terdengar. Saya ingin sekali menyampaikan rasa gelojak jiwa yang menyiksa diri ini hingga saya coretkan bait-bait perkataan membentuk satu susunan yang barangkali dipanggil puisi tetapi saya cenderung dinilai sebagai sajak. Entah mana datang kekuatan pada bulan Febuari yang lalu saya begitu rancak menulis yang sedang pada dahulunya tidak pernah langsung terkisah untuk berkongsi hati dan perasaan melalui penulisan apatah lagi menembusi media cetak. Malah saya sendiri terkejut pada malam hari pada suatu hari yang tidak diingati bahawa saya telah menulis beberapa sajak pada siang harinya hanya dalam tempoh sesingkat itu walhal kalau diikutkan sayalah orang pertama yang mengejek mereka yang tak kunjung sudah menggunakan ayat puitis dan berbunga.
Sedang sibuk mengemas nota-nota yang bertimbun dan kelengkapan lain untuk bersedia pulang ke Malaysia, (yang saya sedih kenapa begitu lambat hingga rindu sudah amat sangat) saya terjumpa kiriman warkah Isbiha yang dikirimkan ketika hari raya pada tahun 2004 dahulu. Adakalanya Isbiha bijak sekali memainkan perasaan saya dengan menulis ada baju yang saya tertinggal kadangkala dipakainya jesteru terus dirasa seolah-olah saya begitu dekat dengan dirinya. Ketika ini saya mula perlahan-lahan cuba menghadam apa yang dimaksudkan dengan menyentuh perasaan, mengenal dan mengerti sebuah perasaan dan sebagainya. Mustahil untuk saya tidak mengalir air mata tatkala membaca dan mengulang baca tulisannya. Hatta kering air mata nyata sekalipun, air mata hati sentiasa menangisi pemergian Isbiha yang dikasihi.
Dahulunya, saya ada juga kalanya memperlekeh soal sayang,rindu dan cinta seolah manusia ini tidak punya kerja lain namun masa demi masa saya mula mengerti bahawa cinta, kasih sayang dan rindu jugalah yang banyak mendorong sesorang itu atas banyak perbuatan. Cinta itu mampu menjadikan seseorang itu menjadi insan yang lebih baik. Cinta seorang hamba kepada Tuannya menyebabkan sentiasa berlumba melakukan amalan, sayang seorang suami kepada isteri membuatkan setiap hari seperti hari pertama perkahwinan dan rindu seorang anak kepada ayahnya membuatkan setiap hari mengirim doa tanda ingatan. Namun cinta songsang juga boleh terjadi apabila tidak disandarkan kepada iman yang mampu sahaja membawa manusia itu ke arah kejahilan. Jesteru, awas! Kemanakah cinta, sayang dan rindu yang kita jiwai telah mendorong kita?
Apa-apapun pagi ini harus dikemas barang yang banyak, ke pasar membeli timun,tomato,cili dan salat bulat untuk dibuat makan doa kesyukuran selesai sudah ranjau 6 tahun di rantau, menyaksikan mungkinkah Rusia bakal teriak macam orang gila lagi kerana memenangi perlawanan Euro 2008 dan mungkin pertama kali melangkah ke final sejak berapa tahun yang dulu ini pula kali pertama melangkah ke pusingan kedua, bersiap sedia juga untuk ke Saint Petersburgh sebuah bandar jolokan Venice Timur( harap ada kelapangan bertemu Prof Alexander Ogloblin yang fasih berbahasa Indonesia dan Jawa!) , mengirim doa kesejahteraan dan selamat akan ulangtahun kelahiran ayahanda seorang sahabat (lebih awal), pastinya harus dihubungi bonda tercinta mengirimkan khabar barang satu dua berita. Moga-moga kalian dalam peliharaan Allah sentiasa dan dalam iman yang sempurna.
Saya tinggalkan kalian dengan sajak yang diimprovisi sebentar tadi yang bertajuk Menyelongkar Taj us-Salatin supaya dapat difahami bahawa peranan kita di dunia fana yang sementara. Sungguh seperti sabda hadis mafhumnya kita semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Dari sajak ini , kalian semua adalah raja. Raja yang mengatur jalan hidup kalian sendiri. Pilihannya sama ada dua; antara yang haq dan yang batil; antara syurga dan neraka. Hidup di dunia bukanlah pilihan, juga tatkala entah bila waktunya nyawa dicabut juga bukanlah pilihan, namun jalan di antara duanya adalah pilihan. Maka bijaklah membuat pilihan. Renung-renungkan dan selamat beramal.
Menyelongkar Taj us-Salatin
24 fasal dicerakin,
Kitab Taj us-Salatin,
dengan perinci menggariskan,
menyingkap Fasal ke-16,
sifat yang perlu digalas
orang berbudi(berakal)
lewati yang ke-5,
apa peranan seorang raja.
Aku adalah raja,
kerajaanku segala hati dan jiwa.
Aku ingin disayangi jelata,
raja adil yang disembah,
bijak mulut petah berhujah,
ilmu tahu memilih menteri,
lagi permaisuri sebagai suri,
dikasihi marhaen kerana budi,
pemurah,berjasa dari seorang lelaki
yang berani!
Fasal Pertama,
kenal aku dirinya siapa?
Fasal Kedua,
siapa Raja segala raja.
Fasal Ketiga
apa itu dunia?
Fasal Keempat,
kemana aku tatkala nyawa tamat?
Dari perpustakaan kecilmu Isbiha,
aku mengenali Bukhari al-Jauhari,
hingga kuselongkar setiap muka,
fasal siapa diri ke fasal setia janji,
tinggi mendaulatkan manusia,
raja suci yang tunduk Ilahi!
Khairil Idham Ismail
Moscow Russia
Jun 26, 2008 0500